Saturday, 8 June 2013

KEGAGAHAN, KEBERANIAN ETNIK DARI LONG PASIA DIGERUNI (LAWAN NGAYAU)

SEJARAH kewujudan masyarakat Lundayeh di Sabah tidak banyak disokong fakta tetapi mereka mempunyai beberapa versi tersendiri. Hubungan yang sangat rapat dengan etnik sama di Kalimantan Timur turut menyebabkan ada dakwaan Lundayeh berasal dari sana.

Ia dinafikan Ketua Kampung Long Pasia, Mudin Sia yang berpendapat kewujudan masyarakat Lundayeh di Sabah memang bermula di Long Pasia sebelum wujud beberapa penempatan baru lantaran perpindahan beramai-ramai yang diuruskan Pegawai Daerah Sipitang pada 1955.

Lebih menarik ialah versi mistik kewujudan masyarakat itu yang dikaitkan dengan sebuah legenda, sekali gus merujuk asal usul mereka dari Kalimantan Timur, Indonesia. Menurut legenda itu, pada mulanya hanya seorang manusia wujud di dunia iaitu Rang Dungo.

Diceritakan, tuhan melihat Rang Dungo kesedihan kerana keseorangan lalu menghubunginya melalui mimpi dan mengarahkannya supaya mendaki gunung tertinggi di kawasan itu untuk diberi hadiah istimewa yang pasti menggembirakannya. Namun, selepas berkali-kali mencuba, Rang Dungo berasa semakin panas apabila menghampiri kemuncak.

Tidak tahan dengan kepanasan itu, Rang Dungo pulang dengan tangan kosong tetapi suara yang muncul dalam mimpinya menasihatkannya supaya menutup badan dengan daun pisang. Ia yang melindungi tubuh daripada terik matahari nyata membantunya untuk sampai ke puncak gunung.

Rang Dungo terlihat sesuatu menyerupai telur sebesar kepala manusia. Diambilnya barang itu dan dibawa balik, lantaran terlalu berat, habis seluruh tenaganya untuk sampai ke rumah. Barang itu disimpan di bilik sebelum dia terlena kepenatan.

Keesokan paginya, Rang Dungo terkejut apabila telur itu digantikan dengan wanita yang sangat cantik. Dengan suara merdu dia memperkenalkan dirinya sebagai Terur Eco (telur matahari). Sejak itulah Rang Dungo mempunyai teman atau isteri dan suku Lundayeh dikatakan adalah keturunan mereka. Suku itu menganggap Ulu Padas sebagai satu daripada kawasan asal usul mereka. Pada zaman silam, mereka membina rumah panjang berdekatan hutan terutama di hulu Sungai Matang dan anak sungai yang mengalir ke dalamnya. 


Lundayeh juga suku yang sangat ditakuti kerana kegagahan, keberanian dan kekuatan berperang dengan jiran mereka termasuk ketika perang potong kepala (ngayau).

Kehidupan mereka dikuasai sistem kepercayaan yang berhubung dengan dewa dan roh melalui binatang seperti burung dan ular. Namun, kepercayaan itu mula pupus selepas seluruh suku Lundayeh memeluk Kristian pada awal 1930.


Pada zaman dulu juga, dianggap sebagai kejayaan besar jika seseorang berjaya memancung kepala musuhnya. Sekembali daripada peperangan, dia mendirikan kayu berhias di atas tugu diperbuat daripada tanah dengan bentuk buaya atau darung (naga). Kedua-dua binatang ini dianggap bengis dan kuat, mewakili musuh yang dikalahkan.

Kemuncak upacara itu ialah apabila tuan rumah menunjukkan kekuatan dan kegagahannya kepada tetamu dengan menetak belakang Ulung Buayeh (tugu buaya) itu dengan pedangnya. Upacara beramai-ramai di sekeliling tugu itu berterusan untuk beberapa hari dengan tetamu menyanyi dan menari sambil meminum tuak.

Kini, banyak tinggalan sejarah suku Lundayeh termasuk tugu buaya di beberapa lokasi jauh dari perkampungan mereka. Beberapa lokasi yang dianggap bersejarah bagi mereka juga tidak terjaga lantaran jarak yang sangat jauh merentasi arus sungai.

Bercerita lanjut mengenai sejarah kewujudan Lundayeh, Mudin berkata, sukar untuk dipastikan dari mana asal masyarakat itu kerana ia bukan hanya ada di Sabah tetapi juga di Sarawak dan Kalimantan Timur atau dulunya Dataran Tinggi Borneo sebelum terbahagi kepada tiga kawasan berbeza.

“Di Sabah, Lundayeh wujud sejak awal di lembah Sungai Matang atau di Long Pasia, tetapi tidak pula ada sejarah bertulis yang mencatatkan sejak bila kami di sini. Namun, peninggalan sejarah memang ada seperti Ulung Buayeh menunjukkan berlaku budaya lama masyarakat ini yang bermasalah dengan kaum lain sehingga perang potong kepala.

“Tiada pula bukti sejarah mengatakan kenapa mereka memilih buaya sebagai simbolnya tetapi semua simbol yang dibuat, kepalanya akan menghadap ke sungai. Ia mungkin simbol kebanggaan suku Lundayeh suatu ketika dulu.

“Sebelum berlaku perpindahan ke Sipitang pada 1955, penduduk Lundayeh di lembah Sungai Matang lebih 2,000 orang merangkumi lima kampung iaitu Long Pasia, Long Mio, Long Bayur, Sungai Pilang dan Sungai Ruran. Perpindahan ketika itu juga menyebabkan ramai orang dari sini berhijrah ke Sarawak dan Kalimantan. Apabila ada yang kembali ke sini pada 1957,” katanya.

Sebenarnya, menurut Mudin, perkampungan Long Pasia sekarang bukan penempatan asal kerana pada awalnya mereka menetap di seberang Sungai Matang tetapi selepas perpindahan semula pada 1958, berlaku pelbagai gangguan makhluk halus menyebabkan mereka terpaksa berpindah dan mencari penempatan lebih selesa, sekali gus mewujudkan perkampungan baru ini.

Sebelum Long Pasia, Lundayeh tinggal di Kampung Meganit, tiga kilometer ke hulu Sungai Matang dari 1958 hingga hujung 1960. Dua tahun di situ, mereka tinggal di pondok ladang untuk menggerakkan aktiviti pertanian sebelum membina rumah panjang di atas bukit selepas setahun menetap di situ.

“Jika dilihat jumlah penduduk, Lundayeh paling ramai di Long Bawan, Kalimantan, manakala Long Semadu dan Lawas, Sarawak juga mencatatkan jumlah suku Lundayeh lebih ramai daripada Long Pasia. Di Sarawak, mereka dikenali sebagai Lun Bawang.

“Secara ringkasnya pula, nama Long Pasia diambil sempena nama sungai Pasia. ‘Long’ bermaksud kuala, ‘abpa’ pula adalah sungai manakala ‘sia’ bermaksud merah. Jadi jika diterjemahkan, Long Pasia membawa maksud Kuala Sungai Merah,” katanya.

Istilah Lundayeh pula berasal daripada dua perkataan iaitu ‘lun’ dan ‘dayeh’ bermaksud Orang Ulu. Pengertian ini diambil berdasarkan kedudukan mereka di lembah sungai. Dalam erti kata lain, pengertian Lun Dayeh bukan merujuk kawasan pedalaman atau pergunungan tetapi sungai yang diduduki.

Kini, selepas penerokaan hutan untuk penempatan dan kawasan pertanian, difahamkan kerajaan Sabah sudah mewartakan 30,000 ekar kawasan sebagai perkampungan suku Lundayeh. Di Long Pasia, jumlah penduduk di situ hampir 500 orang di 82 rumah.

Seorang lagi penduduk di Long Pasia yang menjadi tempat rujukan mengenai sejarah Lundayeh, Pangiran Koboi, 39, berkata Lundayeh sebenarnya pecahan daripada etnik Kalamantan yang pertama menduduki kepulauan Borneo di Kalimantan.

Di bawah Lundayeh pula ada beberapa sub-etnik termasuk Kelabit yang dikatakan berpindah ke Sungai Labit ketika berlaku serangan wabak serius suatu ketika dulu.

“Tidak keterlaluan dikatakan masyarakat Lundayeh memang wujud sejak awal di Ulu Padas untuk mempertahankan diri tetapi mula berhijrah ke kawasan yang mempunyai kepentingan ekonomi sehingga membentuk masyarakat sama tetapi dengan nama baru termasuk di Sarawak.

No comments:

Post a Comment